Berita SemasaJenayah & Mahkamah

‘Counter Setting’: 37 lagi pegawai penguat kuasa di 5 negeri direman

KUALA LUMPUR – Seramai 37 lagi pegawai agensi penguat kuasa ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket membenarkan warga asing masuk melalui laluan khas atau ‘Counter Setting’.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua suspek ditahan menerusi Op Pump 2.0 yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor semalam.

Katanya, mereka yang ditahan ini membabitkan 27 lelaki dan 10 wanita berusia lingkungan 20 hingga 40-an yang kini disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“Menerusi operasi ini, SPRM turut menemui wang tunai keseluruhannya berjumlah lebih RM1 juta iaitu lebih RM500,000 daripada seorang suspek di Pahang, lebih RM200,000 daripada suspek di Selangor, lebih RM170,000 daripada suspek di Johor serta lebih RM100,000 daripada suspek di Negeri Sembilan.

“Wang tunai ini dipercayai diperoleh hasil daripada rasuah yang diterima daripada sindiket yang membawa masuk warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) dan Terminal 2 (KLIA2),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azam berkata, SPRM turut menyita barangan kemas termasuk jongkong emas dan dinar emas, pelbagai jam tangan berjenama, kereta dan motorsikal selain telefon bimbit pelbagai jenama.

Di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman sembilan pegawai penguat kuasa membabitkan lima lelaki dan empat wanita selama 5 hari.

Di Mahkamah Majistret Shah Alam, Majistret Nur Syuhada Abdullah membenarkan lapan pegawai penguat kuasa lelaki dan tiga pegawai penguat kuasa wanita direman selama lima hari.

Sementara itu di Mahkamah Majistret Seremban, seramai tujuh pegawai penguat kuasa lelaki direman sehingga 19 September 2024 selepas permohonon dibuat SPRM dihadapan Majistret Syed Farid Syed Ali .

Di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, tiga pegawai penguat kuasa lelaki dan seorang pegawai penguat kuasa wanita direman selama lima hari selepas permohonan dibenarkan oleh Majistret Nabila Nizam.

Di Kuala Lumpur, Majistret Haneefa Ariffin membenarkan tiga penguat kuasa lelaki direman selama enam hari sehingga 18 September 2024.

Tiga lagi pegawai penguat kuasa membabitkan dua wanita dan seorang lelaki dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka selesai dirakamkan.

Show More

Related Articles

Back to top button