Berita Semasa

KPM ambil serius dakwaan guru penjawat awam paling ramai ambil MC

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil serius satu laporan media baru-baru ini yang mengaitkan guru sebagai penjawat awam paling ramai memalsukan sijil cuti sakit (MC).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, dakwaan ini adalah tidak bertanggungjawab dan memberi persepsi negatif terhadap profesion keguruan.

Fadhlina berkata, isu sedemikian tidak sepatutnya berbangkit memandangkan terdapat lebih 400,000 orang guru di seluruh negara yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh
integriti.

“Tatakelola penjawat awam sentiasa diberi perhatian bagi memastikan prestasi perkhidmatan terbaik untuk masyarakat dan
kementerian juga mempunyai peraturan yang jelas bagi menangani isu tatatertib penjawat awam.

“Pemantauan dilaksanakan secara berterusan di setiap peringkat dan penjawat awam yang terlibat dalam sebarang salah laku akan dikenakan tindakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendedahkan golongan guru adalah kumpulan penjawat awam paling ramai terlibat dalam salah laku memalsukan sijil cuti sakit.

Sementara itu, Fadhlina berkata, kerajaan menghargai peranan penting guru membangunkan negara dan sebagai penghargaan kepada sumbangan guru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam pada bulan Ogos lalu.

“KPM juga melaksanakan pelbagai usaha untuk memelihara kesejahteraan warga pendidik termasuk menerusi tujuh langkah bagi menangani beban tugas guru,” katanya lagi dalam kenyataan itu.

Show More

Related Articles

Back to top button