3,000 dijangka sertai UTMB
TAIPING – Hampir 3,000 peserta dari 60 negara dijangka menyertai larian denai Malaysia Ultra Trail (UTMB) yang akan berlangsung di Taiping dari 15 hingga 17 November ini.
Pengarah UTMB, Ewegene Tan memaklumkan bahawa acara ini turut menarik penyertaan pelari dari China, Singapura, Indonesia, Jepun, dan Perancis, di samping beberapa negara lain.
“Jarak larian bermula dari 2 kilometer untuk kategori kanak-kanak manakala kategori dewasa boleh mencecah sehingga 100 kilometer.
“Para peserta akan diuji kekuatan fizikal dan mental mereka melalui lima kategori jarak larian yang berbeza, semuanya diadakan di kawasan rizab hutan serta hutan simpan di Taiping,” katanya di sini hari ini.
Beliau turut menyatakan, laluan larian kali ini akan melibatkan trek landasan keretapi lama, kawasan ladang, dan hutan lasak.
Di samping itu, hadiah lumayan menanti pemenang dan mereka berpeluang mengumpul mata kelayakan untuk Siri Dunia UTMB yang akan diadakan di Perancis pada tahun depan.
“Peserta luar negara yang menyertai acara ini sememangnya dikenali di peringkat antarabangsa dalam sukan larian denai,” katanya lagi.
Hadir sama pada majlis tersebut, Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh.
Kah Woh berkata,Taiping bertuah terpilih sebagai lokasi acara tersebut, yang dianggap sebagai hadiah sempena ulang tahun ke-150 Bandar Warisan Taiping.
“Acara ini bukan sahaja meningkatkan imej Taiping, tetapi juga Malaysia di persada antarabangsa,” katanya lagi.