Berita Semasa

Pelbagai acara menarik nanti pengunjung sempena sambutan Minggu Perpaduan di JB

PUTRAJAYA – Pelbagai acara menarik akan menanti pengunjung sempena sambutan Minggu Perpaduan Tahun 2024 Peringkat Kebangsaan yang bakal membuka tirai bermula esok sehingga 26 Mei ini di Pusat Beli Belah Angsana Mall, Johor Bahru, Johor

Menurut Kementerian Perpaduan, acara itu yang akan bermula jam 10 pagi hingga
10 malam merupakan sambutan kali kedua setelah sambutan kali pertama diadakan dengan jayanya di Kuching, Sarawak pada tahun lalu.

“Sambutan yang berlangsung selama empat hari ini menyasarkan kehadiran pengunjung seramai kira-kira 200,000 orang.

“Majlis perasmian sambutan Minggu
Perpaduan Tahun 2024 Peringkat Kebangsaan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Mei ini pada jam 8 malam,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, antara pengisian akitiviti menarik yang diadakan ialah Pameran Rumah KAMI (22 rumah etnik); Perkampungan Orang Asli suku kaum Seletar, Mahmeri dan Semai; Perkampungan Rumah Panjang suku kaum Iban: Pameran jabatan dan agensi kerajaan dan swasta; Jualan Rahmah; pameran dan jualan produk-produk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif; Larian Uniti; Foodunites dan Foodtruck serta permainan e-sports.

Selain itu, terdapat juga pertukaran topi keledar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); pengurangan kadar kompaun saman oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan persembahan artis terkenal melalui Malam Irama Sama-Sama Kita.

“Sempena sambutan ini juga, KPN telah membuka Pusat Media di khemah Padang Akasia, berhadapan Pusat Beli Belah Angsana Mall bagi memudahkan para pengamal media mendapatkan maklumat terkini mengenai program-program yang sedang berlangsung sepanjang sambutan ini.

“KPN ingin mengajak orang ramai khasnya kepada rakyat di Johor Bahru dan kawasan sekitarnya untuk sama-sama memeriahkan Sambutan Minggu Perpaduan Tahun 2024 Peringkat Kebangsaan.

“Sambutan ini adalah peluang yang sangat berharga untuk kita bersama-sama memperkasa perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat Malaysia seterusnya mengukuhkan tapak integrasi
nasional berteraskan Perlembagaan dan Rukun Negara,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sambutan itu mampu menjadi wadah perpaduan dan tapak integrasi yang berlandaskan pendekatan terpilih serta berkesan sehingga ke peringkat akar umbi untuk memperkukuh sekali gus mengeratkan hubungan masyarakat dalam usaha memelihara ekosistem perpaduan.

Show More

Related Articles

Back to top button