Khabib pelawa Jojo ke Rusia berlatih bersamanya
KUALA LUMPUR – Legenda UFC dunia, Khabib Nurmagomedov mempelawa jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar ke Dagestan, Rusia untuk berlatih dengannya dalam arena seni bela diri campuran (MMA).
Khabib berkata demikian pada sidang media selepas acara ‘Khabib Nurmagomedov LIVE in Malaysia 2024′.
“Saya baru saja bertemu dengannya di belakang pentas. Saya tahu dia masih muda dan seorang lawan yang baik. Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepadanya.
“Dia (Jojo) ada memberitahu saya pada masa hadapan ingin terbabit dalam MMA.
“Saya sentiasa mengalu-alukan kehadirannya jika dia ingin belajar bersama saya di Dagestan di pusat latihan kami,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Dalam masa yang sama, Khabib turut tidak menolak kemungkinan membuka pusat latihan di Malaysia dan pernah memikirkan mengenai rancangan itu dengan membawa jurulatih terbaik dalam membangunkan sukan MMA di sini.
Memegang rekod sebagai juara kelas lightweight Ultimate Fighting Championship (UFC) yang tidak pernah kalah pada 2021 dengan rekod 29-0, Khabib selepas ini akan berkunjung ke Indonesia untuk rancangan temu bual ”The Path of a Champion’.