Berita Semasa

Kemasukan pelajar pintar Izz Imil ke UM melalui proses temuduga, diluluskan senat

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) mengesahkan kemasukan pelajar cemerlang berusia 12 tahun, Izz Imil sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik, Fakulti Sains Universiti Malaya.

Menurut Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, Izz Imil telah melalui proses temuduga dengan jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh universiti dan diluluskan senat universiti bagi menyambung pengajian di Universiti Malaya.

“Memandangkan usia Izz Imil yang begitu muda, pihak universiti memohon semua pihak untuk memberikan ruang dan privasi kepada pelajar tersebut melalui proses pembelajaran dan penyesuaian diri di universiti.

“Perkara ini penting bagi membolehkan beliau dapat melalui proses tumbesaran yang kondusif di samping menjalani pengajian dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri ,Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau berpeluang bertemu pelajar itu selepas menghadiri Program “In Person with Doc Zam” di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) petang tadi.

“Saya singgah ke UM untuk bertemu sendiri dengan seorang anak pintar, pelajar cemerlang berusia 12 tahun, adik Izz Imil yang telah mendaftar masuk sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik, Fakulti Sains UM.

“Semalam saya telah dimaklumkan tentang perkara ini dan hari ini saya sendiri mengambil peluang untuk bertemu dengan pelajar ini. Pertemuan singkat ini turut disertai oleh ibu bapa Izz Imil dan juga Naib Canselor UM.

“Izz Imil sama seperti anak-anak lain seusia dengannya. Berpewatakan ceria dan sangat petah berbicara. Ternyata minat beliau dengan matematik sangat mendalam sehingga perbualan kami juga banyak berkisar tentang nombor,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pihak universiti sendiri telah merangka beberapa perancangan khusus untuk Izz Imil dapat belajar dengan persekitaran yang baik dan kondusif.

“Sama-sama kita doakan adik Izz Imil dapat belajar dengan baik, menjadi pelajar cemerlang dan mampu memberi hasil terbaik kepada masyarakat dan negara.

“Kepada adik Izz Imil, kita jumpa lagi nanti. Banyak lagi ‘game trick’ yang kita nak buat sama-sama nanti,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button