150 selamat, feri bawa penumpang terbakar
PULAU PINANG – Seramai 150 orang terlibat dalam satu kebakaran feri yang membawa penumpang di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) di sini hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kejadian berkenaan merupakan simulasi sempena Search and Rescue Exercise (SAREX) Level 3 yang dikoordonasikan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi.
Beliau berkata, latihan itu diadakan bagi melihat kesiagaan dan koordinasi jabatan dan agensi yang berkaitan dalam menghadapi situasi kecemasan maritim yang melibatkan nyawa di laut.
“Untuk SAREX kali ini kali ini, lebih 15 agensi kerajaan dan swasta terlibat dalam latihan ini dalam menguji prosedur tetap serta prosedur operasi standard (SOP) agensi masing-masing.
“Selain itu, SAREX Level 3 turut menguji kepakaran khusus yang dimiliki oleh setiap agensi dan jabatan dalam melakukan operasi Carilamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau menyaksikan simulasi SAREX Level 3 di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Maritim negeri Pulau Pinang selaku Ketua SAR, Kepten Maritim Razali Kassim; Pengurus Besar Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang; Datuk Dr. V Vijayaindiaran serta Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn. Bhd, Datuk Sasedharan Vasudevan.
Romli yang juga Kordinator Misi SAR SAREX Level 3 menekankan bahawa SAR itu memberikan peluang kepada semua pihak untuk menilai keupayaan dan memperbaiki kelemahan yang mungkin ada ketika simulasi dilakukan.
Malah katanya, hasil latihan ini akan dapat dijadikan panduan untuk menambah baik prosedur operasi sedia ada bagi meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan operasi SAR pada masa hadapan.
Terdahulu dalam simulasi tersebut, seramai 10 penumpang dilaporkan mengalami kecederaan akibat kebakaran di atas feri, manakala 14 penumpang lagi bertindak terjun ke laut untuk menyelamatkan diri dan selebihnya kekal berada di dalam feri tersebut.
Kesemua penumpang yang terlibat segera diberi bantuan oleh pasukan penyelamat yang terdiri daripada pelbagai agensi, termasuk Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan
Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Selain agensi tersebut, SAREX Level 3 turut melibatkan Hospital Besar Pulau Pinang, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Penang Port Sdn. Bhd. dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).