TDM sahkan seorang anggotanya maut terkena tembakan
KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan seorang anggota daripada formasi 9 Briged, Sibu meninggal dunia setelah terkena tembakan yang tidak dikenal pasti pada awal pagi tadi.
Menurut Sel Perhubungan Raya Markas TDM dalam satu kenyataan, ketika kejadian, anggota itu sedang
melaksanakan latihan di kawasan am Song, Sarawak bermula pada 21 hingga 29 September ini melibatkan kawasan am Kanowit-Nanga Dap-Song dan berkekuatan satu kompeni.
“Pada 23 September 2024 (hari kedua latihan) jam lebih kurang 2.45 pagi, sewaktu sedang berehat (berlabuh), platun telah mendengar bunyi motosikal melalui jalan tidak berturap (jalan balak)
berdekatan lokasi mereka berlabuh.
“Secara tiba-tiba, kedengaran bunyi tembakan yang dipercayai datang dari arah motosikal berkenaan. Curiga dengan tembakan tersebut, pemeriksaan perimeter dilaksanakan serta merta dan mendapati seorang anggota telah cedera akibat tembakan tersebut,” katanya hari ini.
Susulan itu katanya, anggota itu telah diberi rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song pada jam 4 pagi.
“Seterusnya anggota telah dirujuk ke Hospital Kapit untuk rawatan lanjut pada jam lebih kurang 5 pagi. Namun begitu, dukacita dimaklumkan bahawa anggota telah disahkan meninggal dunia pada jam 7.43 pagi di Hospital Kapit akibat kecederaan yang dialami.
“Satu laporan polis telah dibuat dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melaksanakan siasatan. Masyarakat diingatkan agar tidak menularkan sebarang gambar atau maklumat berkenaan insiden tersebut. Berilah ruang kepada siasatan yang sedang dijalankan sekaligus menghormati waris dan ahli keluarga yang berdukacita dengan insiden ini,” katanya.
Dalam pada itu katanya, jenazah akan disempurnakan selepas proses bedah siasat selesai.
“Pihak waris yang berada di Sarikei, Sarawak telah dimaklumkan dan lokasi pengebumian akan
dimaklumkan kemudian.
“TDM mengucapkan salam takziah kepada waris dan ahli keluarga yang terjejas dan mendoakan semoga diberikan kekuatan serta kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
Terdahulu Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata mengesahkan seorang anggota TDM berpangkat koperal berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kapit, pada jam 7.43 pagi tadi.
Beliau berkata, kes itu masih dalam siasatan lanjut dan polis melancarkan gerakan memburu suspek yang melepaskan tembakan itu.
“Polis menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku di kawasan hutan Batu 5 Jalan Balak Multiplus, Song itu pada jam 5.57 pagi hari ini.
“Pengadu memaklumkan bahawa seorang anggota tentera yang sedang menjalani latihan terkena tembakan disyaki dilepaskan oleh orang awam yang memburu di kawasan itu.