Wanita keluar mendaki maut terjatuh dalam lubang air di Bukit Cherok Tokun
BUKIT MERTAJAM – Seorang wanita yang keluar mendaki di Bukit Cherok Tokun meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang saluran air sedalam 1.8 meter tengah hari tadi.
Mangsa dari Taman Bukit Juru di sini yang dikenali sebagai Oh Ai Chin, 50, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan padaa pukul jam 12.59 tengah hari.
“Ketika tiba di lokasi terdapat seorang mangsa dikhuatiri terjatuh ke dalam lubang saluran air sedalam 1.82 meter.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan dan dia disahkan meninggal dunia. Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di Seberang Prai dilanda banjir kilat dan kejadian pokok tumbang.
Dalam kejadian di Seberang Perai Utara, sepasang suami isteri nyaris maut apabila kereta yang dipandu mereka dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Siram.
Di Seberang Perai Tengah pula, sebanyak 42 lokasi dilapor mengalami banjir kilat manakala di Seberang Perai Selatan pula sebanyak 26 lokasi.