Pembawa kapal selam pertama Malaysia dari Perancis dilantik sebagai Panglima Tentera Laut
KUALA LUMPUR – Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain dilantik sebagai Panglima Tentera Laut Ke-19 menggantikan Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob yang akan bersara pada 2 Disember 2024.
Pemakaian pangkat tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, DatUK Seri Mohamed Khaled Nordin dan disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman.
Turut hadir adalah barisan pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Zulhelmy yang dilahirkan pada 2 Jan 1968 di Datuk Keramat, Kuala Lumpur telah menerima pendidikan menengah di Maktab Tentera Diraja bermula pada tahun 1981 hingga tahun 1985 dan memulakan karier dalam perkhidmatan TLDM dengan mengikuti latihan sebagai Pegawai Kadet pada tahun 1986 seterusnya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam cawangan Eksekutif dua tahun kemudian.
Kerjaya beliau sebagai seorang Submariner bermula pada tahun 1993 apabila memperolehi lencana kepakaran kapal selam setelah menamatkan latihan kapal selam di HMAS Platypus, Australia.
Beliau seterusnya telah menamatkan Kursus Kapal Selam di Brest, Perancis dan dianugerahkan Sijil Kelayakan Pegawai Memerintah Kapal Selam jenis Agosta.
Sejarah turut tercipta apabila beliau berjaya membawa pulang kapal selam pertama Malaysia Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman dari Perancis yang mengambil masa dua bulan.
Antara jawatan penting yang pernah disandang beliau sepanjang perkhidmatan adalah Panglima Angkatan Kapal Selam, Asisten Ketua Staf Pembangunan (J5) Markas Angkatan Bersama, Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan Markas Tentera Laut, Panglima Wilayah Laut 1, Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Timbalan Panglima Tentera Laut seterusnya memegang jawatan Pemangku Panglima Tentera Laut pada 1 Ogos 2024.
Beliau juga merupakan pemegang Ijazah Sarjana National Security Administration yang mana beliau turut menerima The Outstanding Alumni Award dari National Defence College of the Philippines. Beliau juga merupakan alumni United States Naval War College, Rhode Island dan Royal College of Defence Studies, United Kingdom.