Berita Semasa

Pindaan Akta 588 beri kuasa pihak berkuasa dapatkan maklumat dari penyedia platform media sosial

KUALA LUMPUR – Satu pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) akan dilaksanakan bagi membolehkan pihak penguat kuasa meminta platform media sosial membekalkan data tertentu berdasarkan siasatan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, bagi tujuan itu satu seksyen baharu telah dicadang untuk ditambah dalam pindaan akta berkenaan.

“Dengan adanya satu seksyen baharu sekiranya diluluskan di Dewan Rakyat ini, pihak polis berkuasa untuk meminta penyedia platform media sosial untuk menzahirkan data tersebut mengenai sebarang pengguna akaun.

“Kami harap ini akan mempermudahkan siasatan oleh polis,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Nie Ching berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai usaha menangani penyebaran fitnah khususnya oleh pemilik akaun media sosial palsu.

Terdahulu, Nie Ching memberitahu dewan bahawa Jemaah Menteri telah meluluskan cadangan pindaan kepada Akta 588 dalam mesyuarat, Jumaat lepas, dan pindaan tersebut akan dibentangkan pada bulan depan.

Beliau turut menyebut bahawa Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian akan dibentangkan tidak lama lagi untuk membanteras aktiviti jenayah di media sosial, termasuk penyebaran berita palsu.

Show More

Related Articles

Back to top button