Berita Semasa

Isu GISBH: KPM pertimbang ambil tindakan undang-undang terhadap ibu bapa nafikan pendidikan anak

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap ibu bapa anak-anak GISB Holding Sdn. Bhd. (GISBH) yang menafikan hak anak mereka untuk mendapatkan pendidikan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, perkara berkenaan kini di peringkat perbincangan bersama pasukan undang-undang.

“Isu ini sangat serius apabila anak-anak dinafikan persekolahan sedangkan mengikut Akta Pendidikan 1996 dan dasar pendidikan wajib.

“Pasukan undang-undang sedang meneliti dan barangkali jika ada tindakan diambil kita akan maklumkan dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPM, di sini hari ini.

Pada 10 September lalu, polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 20 rumah kebajikan dikaitkan syarikat itu di Selangor dan Negeri Sembilan.

Terdahulu, sekurang-kurangnya 300 anak-anak pengikut GISB GISBH akan diberikan pendidikan menerusi modul khas daripada KPM.

Fadhlina berkata, pengambilalihan aspek pendidikan anak-anak tersebut bakal dilaksanakan bermula 1 Oktober ini.

Jelas Fadhlina, modul khas terbabit akan mengikut kohort pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Bagi fasa pertama, modul khas disediakan kerana mereka tidak berada dalam sesi persekolahan biasa dan arus perdana.

“Setakat ini juga kita buat penilaian 3M iaitu membaca, mengira dan menulis selain psikososial..kita sedang melakukan sesi bersama kaunselor KPM,” katanya.

Mengulas mengenai modul berkenaan, Fadhlina berkata, konsep sekolah nukleus dan kelas satelit diambil berpandukan satu model dalam Program Jom Belajar, iaitu Program Khas Murid Orang Asli (PROKHAS).

Ia diperkenalkan KPM bagi memberi akses pendidikan kepada kanak-kanak Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman dan tidak pernah bersekolah.

Katanya, program tersebut akan menggunakan Kit Program Transisi Tahun 1 dan Modul Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA) bagi fasa pertama memandangkan kanak-kanak itu tidak pernah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pihaknya mendapat kerjasama penuh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam aspek pengambilalihan pendidikan itu.

Show More

Related Articles

Back to top button