Berita Semasa

Buah durian Malaysia sudah boleh dieksport ke China

PUTRAJAYA – Buah durian segar Malaysia kini boleh dieksport ke China selepas Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berjaya memeterai Protokol Keperluan Fitosanitari dengan China (RRC).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, protokol tersebut dimeterai bersama Menteri Pentadbiran Am Kastam China (GACC), Yu Jianhua.

“Penyerahan dokumen Protokol diadakan semasa Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China, Li Qiang, di Putra Perdana.

“Dengan perjanjian ini, pintu pasaran baharu untuk eksport buah durian segar dari Malaysia ke China kini dibuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika menyerahkan dokumen Protokol Keperluan Fitosanitari dengan China (RRC) di Putrajaya.

Terdahulu katanya, Malaysia berjaya menembusi pasaran China bagi buah durian dalam bentuk ulas dan pes pada tahun 2011, serta durian sejuk beku dalam bentuk biji pada tahun 2018.

“Tambahan pasaran durian segar ini dijangka akan mengembangkan lagi industri durian tempatan dan meningkatkan nilai eksport agromakanan negara,” katanya.

Menurut rekod, dalam tempoh lima tahun dari 2018 hingga 2022, jumlah nilai eksport durian Malaysia ke luar negara telah meningkat sebanyak 256.3 peratus, iaitu peningkatan sebanyak RM822.8 juta.

“Pada tahun 2022, eksport durian Malaysia ke seluruh dunia mencatat nilai sebanyak RM1.14 bilion, menjadikan durian sebagai penyumbang utama (58.6 peratus) kepada nilai eksport buah-buahan negara yang keseluruhannya bernilai RM2.01 bilion,” tambahnya lagi.

Dalam perkembangan yang sama, China merupakan pasaran eksport utama durian Malaysia dengan nilai eksport mencatat RM887 juta pada tahun 2022.

“Nilai ini dijangka terus meningkat kepada RM1.8 bilion menjelang tahun 2030,” katanya.

Mohammad berkata, KPKM yakin pelaksanaan protokol tersebut akan menggalakkan perkembangan industri durian tempatan dan membuka peluang kepada lebih 63 ribu pengusaha durian di seluruh negara.

Beliau menggesa agar pengusaha durian yang berdaftar dan mendapat kelulusan daripada GACC tersebut dibenarkan untuk mengeksport buah durian segar ke China.

Beliau menasihatkan agar pemain industri itu jugq mematuhi kepada syarat-syarat dalam protokol tersebut.

Pemain industri yang berminat untuk berdaftar sebagai pengeksport buah durian segar ke China boleh menghubungi Jabatan Pertanian (DOA) dengan mengemukakan emel kepada pro@doa.gov.my dan myskim@doa.gov.my.

Show More

Related Articles

Back to top button