Berita Semasa

Menteri Besar Kedah perlu utamakan isu banjir, bukan lawatan ke Jepun

SUNGAI PETANI – Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Taufiq Johari, mengkritik keputusan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyertai lawatan ke Jepun bagi mempelajari pengurusan takungan air bawah tanah, ketika negeri itu sedang menghadapi masalah banjir.

Beliau menyatakan bahawa Projek Pembinaan Empangan Bawah Tanah di Pulau Langkawi adalah di bawah tanggungjawab sepenuhnya Kerajaan Persekutuan melalui Bahagian Bekalan Air (BBA) dan bukannya satu projek yang perlu diberikan perhatian mendesak oleh kerajaan negeri buat masa ini.

Taufiq berkata, penilaian teknikal projek itu sedang diuruskan oleh agensi Kerajaan Persekutuan dan kini di peringkat pra-pelaksanaan.

Justeru katanya, tiada keperluan mendesak untuk Menteri Besar Kedah turut serta dalam lawatan kerja itu.

“Sanusi sepatutnya memberi tumpuan kepada menyelesaikan isu loji-loji air sedia ada yang berada di bawah tanggungjawab kerajaan negeri. Selain itu, keutamaan perlu diberikan kepada bersama rakyat Kedah yang sedang berdepan bencana banjir yang semakin serius.

“Angka mangsa banjir di Kedah telah meningkat kepada 7,469 orang setakat pagi ini. Rakyat masih menunggu tindakan dan pelan mitigasi banjir dari pihak Kerajaan Negeri untuk membantu agensi-agensi yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Taufiq menggesa supaya Menteri Besar Kedah memberi perhatian yang lebih kepada masalah banjir yang melanda negeri itu, berbanding terlibat dalam lawatan luar negara yang tidak begitu mendesak ketika ini.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 8,898 mangsa daripada 2,871 keluarga yang berpindah ke 44 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah setakat jam 8 pagi hari ini.

Peningkatan jumlah mangsa itu berbeza berbanding 8,514 mangsa daripada 2,728 keluarga yang direkodkan setakat jam 12 tengah malam tadi.

Show More

Related Articles

Back to top button