Berita Semasa

Masjid, surau disaran adakan solat hajat

CYBERJAYA – Semua masjid dan surau disaran mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan untuk negara dan seluruh mangsa yang terjejas akibat banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar turut memberitahu, beliau telah mengarahkan agensi-agensi dan seluruh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk bekerjasama membantu mangsa banjir yang terkesan menerusi tabung bantuan sedia ada.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat bersimpati dan sedih akan musibah yang menimpa mangsa banjir di beberapa negeri yang terkesan sejak beberapa hari lalu.

“(Sehubungan itu) Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memohon masjid dan surau di seluruh negara dapat mengadakan solat hajat mendoakan keselamatan dan kesejahteraan untuk negara dan seluruh mangsa yang terjejas.

“Semoga seluruh mangsa diberikan ketabahan dengan dugaan yang dihadapi ketika ini,” kata Mohd Naim dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menyingkatkan menyingkatkan lawatannya di Aceh, Indonesia dan akan turun melawat mangsa-mangsa terjejas di beberapa negeri hari ini.

“Hari ini saya akan tiba di Kuala Lumpur setelah selesai urusan lawatan ke Dayah Madani, Acheh, Indonesia bagi memperkukuh kerjasama antara dua negara terutama melibatkan umat Islam dua negara serumpun.

“Saya juga akan bersama agensi-agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk meninjau dan membantu saudara-saudara kita yang terkesan di negeri-negeri terjejas,” katanya lagi.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan terutamanya pihak berkuasa dan pasukan penyelamat yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir di negeri-negeri terkesan.

Show More

Related Articles

Back to top button