Berita Semasa

Fasa peralihan monsun dijangka bermula 24 September

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 24 September dan berlanjutan hingga awal November.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula pada 17 Mei lalu.

“Semasa fasa peralihan monsun, kawasan negara akan mengalami tiupan angin lemah dari pelbagai arah.

“Keadaan ini cenderung menyebabkan ribut petir, yang biasanya membawa hujan lebat serta angin kencang dalam tempoh masa singkat.

“Ia sering berlaku pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah, serta barat dan tengah Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menambah, keadaan cuaca sebegini berpotensi mengakibatkan banjir kilat, pokok tumbang, serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

“Orang ramai turut dinasihatkan supaya berwaspada sepanjang tempoh ini dan sentiasa mengikuti ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mudah alih myCuaca, dan media sosial rasmi jabatan,” katanya lagi.

Orang ramai disarankan untuk menghubungi talian hotline jabatan di 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Show More

Related Articles

Back to top button