Muhammad Syahrulnizam tawan Rinjani dalam latihan takluk Everest tahun depan
KUALA LUMPUR – Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Muhammad Syahrulnizam Mohd Noor berjaya menawan Gunung Rinjani, setinggi 3,726 meter di Lombok, Indonesia selepas pendakian selama tujuh jam pada Rabu lalu.
Pendakian remaja berusia 20 tahun itu merupakan sebahagian daripada latihan kecergasan bersama Program Kembara Perpaduan Nusantara Rinjani yang bermula dari 8 hingga 14 September.
Seramai 34 peserta menyertai program yang dianjurkan oleh Pertubuhan Nadi Sihat dengan kerjasama Persatuan Malim Gunung Perhutanan Malaysia dan Asosiasi Pemandu Gunung Indonesia.
Selepas ini, pendaki solo remaja itu akan meneruskan latihan teknikal (pendakian ais) di tengah Banjaran Himalaya, Nepal bermula pada 16 September hingga 30 Oktober ini sebagai persediaan fizikal dan mental dalam Misi Everest 2025.
Muhammad Syahrulnizam yang merupakan mahasiswa Diploma Pengurusan Sukan dan Rekreasi, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) berkata, selepas ini dia akan meneruskan latihan pendakian teknikal di Banjaran Himalaya sekitar Solukhumbu berhampiran Gunung Everest.
Latihan itu katanya bertujuan mengekalkan tahap penyesuaian diri sebelum menghadapi cabaran sebenar pada tahun depan.
Penyesuaian diri, kemahiran diri bersama kecekalan diri amat penting bagi melakukan pendakian ke Gunung Everest yang tertinggi di dunia.
“Setiap gunung mempunyai keistimewaannya tersendiri dan untuk sampai ke puncak kita mesti melalui cabaran dan rintangan yang berbeza,” ujar beliau.
Misi Everest 2025 anjuran Jejak Pensolo dengan kerjasama UiTM dan Pertubuhan Nadi Sihat bakal menyaksikan Muhammad Syahrulnizam individu termuda yang menakluk rabung dunia itu.