Penghalaan DNS: Kementerian Komunikasi teruskan libat urus bersama pakar
PUTRAJAYA – Kerajaan akan meneruskan sesi libat urus dengan pihak berkenaan dan berkepakaran susulan keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan arahan penghalaan semula Sistem Nama Domain (DNS) yang diumumkan baru-baru ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, walaupun arahan telah dikeluarkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai pembatalan itu. pihaknya akan terus berhubung dengan pelbagai pihak bagi memastikan tahap keselamatan alam siber terpelihara.
“MCMC akan meneruskan sesi libat urus yang telah diadakan sejak enam bulan kebelakangan ini dan mengambil kira lebih banyak pandangan termasuk dari pakar keselamatan siber, komuniti pembangun teknologi dan programmer.
“Kita tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan dalam talian dan akan mengenal pasti keselamatannya dengan mengambil langkah-langkah yang mampan.
“Semua ini dilakukan demi memastikan dunia siber yang lebih selamat terutama untuk kanak-kanak dan keluarga,” katanya di sini hari ini.
Tambah Fahmi, aspek keselamatan internet kini menjadi keutamaan kerajaan kerana trend penghijrahan jenayah yang beralih kepada dunia digital dan world wide web (www.)
“Oleh kerana itu beberapa langkah dan ikhtiar yang lebih menyeluruh perlu di usahakan”
“Saya juga meminta pihak MCMC untuk meneliti dan mencari penyelesaian dengan lebih berkesan dalam isu ini,” katanya lagi.
Sebelum ini, pelaksanaan arahan penghalaan DNS diumumkan untuk melindungi pengguna daripada akses kepada laman web yang memiliki kandungan dalam talian berbahaya.