
Lebih baik rehabilitasi, daripada gam artis bermasalah – Fahmi
PUTRAJAYA – Kerajaan tidak berhasrat menyekat atau menggam mana-mana artis yang menimbulkan masalah dan kontroversi daripada muncul di kaca televisyen.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, langkah penyelesaian yang lebih relevan pada masa kini adalah bagi mereka menjalani program rehabilitasi atau pemulihan.
“Saya sudah cakap dengan Ketua Pengarah Penyiaran (Datuk Suhaimi Sulaiman)… realitinya artis sekarang berbeza dgn era 80-an, waktu itu ada beberapa saluran sahaja, kalau ditutup itu, mereka tidak dapat masuk ruang berkenaan.
“Hari ini jauh berbeza, ada akaun media sosial dan banyak saluran… kita tidak boleh blanket ban (gam secara meluas) sebab membabitkan swasta dan lain-lain.
“Apa yang ketua pengarah cadang adalah sekiranya mana-mana artis mempunyai isu, kita lakukan contoh teladan yang baik dengan memulihkan mereka,” kata Fahmi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Madani Muhibah Aidilfitri, di pekarangan Kementerian Komunikasi serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), di sini hari ini.
Beliau berkata, kaedah rehabilitasi ini turut dilaksanakan di negara luar membabitkan artis bermasalah.
“Kita nampak cara lebih baik adalah rehabilitasi, dan kita harap artis itu mengakui kekhilafan, kekurangan serta berusaha menjadi diri lebih baik.
“Ini cara yang sedang dipertimbangkan namun saya serahkan kepada ketua pengarah penyiaran untuk melakukannya,” katanya lagi.
Dalam majlis sama, Fahmi turut menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada lima bekas pengamal media dan sumbangan Aidilfitri kepada 10 orang penggiat industri kreatif yang terdiri daripada pengarah, pelakon, pemuzik serta penyanyi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |