JIM gempur pekerja warga asing di Pulau Perhentian
BESUT – Seramai 26 orang pkerja warga asing ditahan dalam satu operasi khas oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Pulau Perhentian, di sini, pada Isnin lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi disertai sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu dan dibantu oleh Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Terengganu.
Beliau berkata, kebanyakan warganegara asing yang ditahan menjalankan aktiviti perniagaan yang mana warganegara Bangladesh terlibat dalam perkhidmatan ‘water taxi’ dan warganegara Thailand menawarkan perkhidmatan ‘spa’.
Manakala warganegara Nepal pula bekerja sebagai pengawal keselamatan dan bekerja di resort peranginan. Kesemua suspek dipercayai telah menjalankan perniagaan dan bekerja selama 9 bulan.
“Berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan seramai 26 warganegara asing terdiri daripada 13 lelaki warganegara Bangladesh, enam lelaki warganegara Myanmar, dua lelaki warganegara Pakistan, 1 lelaki warganegara Nepal, tiga perempuan warganegara Thailand dan seorang perempuan warganegara Indonesia.
“Kesemua warganegara asing yang ditahan ini dipercayai menjalankan aktiviti perniagaan dan bekerja di lokasi pemeriksaan sejak awal tahun 2024. Kesemua yang ditahan berusia di antara 22 hingga 50 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ruslin berkata, semakan awal mendapati tiga lelaki warganegara Bangladesh, dua lelaki warganegara Pakistan dan tiga perempuan warganegara Thailand memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang masih sah laku.
Manakala warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini.
Beliau berkata, dalam operasi itu pasukan berdepan kesukaran bentuk muka bumi disebabkan lokasi di persisiran pantai dan permukaan yang berbukit-bukau.
“Terdapat juga cubaan melarikan diri oleh warganegara asing yang menyedari kehadiran pasukan operasi namun kecekapan anggota operasi berjaya mematahkan cubaan tersebut,” katanya.
Kesemua warganegara asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Ajil kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Sek.6(3) Akta Imigresen 59/63 dan Per.39b Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Susulan itu katanya, dua lelaki warganegara tempatan diberikan notis untuk hadir ke JIM Terengganu bagi membantu siasatan.
“JIM Terengganu akan mengesan majikan yang menggajikan atau menggunakan pekerja warganegara asing tanpa dokumen atau pas yang sah.
“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.