Maritim Kelantan, Polis Marin Diraja Thailand tingkat kerjasama menerusi operasi bersama
TUMPAT – Maritim Negeri Kelantan bersama Royal Thai Marine Police telah melaksanakan satu operasi rondaan bersama di sekitar perairan sempadan Malaysia-Thailand.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam satu kenyataan hari ini berkata, operasi yang bermula pada pukul 9 pagi itu melibatkan lebih 50 orang pegawai dan anggota.
Katanya, ia turut disertai oleh para pegawai dan anggota dari Thai Border Patrol Police, Thai Army Border serta Thai Custom Department.
“Tiga buah aset Maritim Negeri Kelantan iaitu bot PERKASA 1232, PERKASA 1233 dan PERKASA 1247 bersama sebuah bot peronda dari Royal Marine Thai Police telah digunakan sepanjang operasi tersebut,” katanya.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Mariitm Erwan Shah Soahdi berkata, operasi rondaan bersama ini merupakan inisiatif yang dilaksanakan secara berkala setiap tahun bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama diantara Maritim Negeri Kelantan dengan agensi-agensi sahabat dari negara Thailand yang turut menguatkuasakan undang-undang di perairan sempadan.
Selain itu, operasi ini juga bertujuan untuk menjadi salah satu platform bagi kesemua agensi yang terlibat untuk berkongsi maklumat, meningkatkan koordinasi, dan mengukuhkan hubungan dua hala dalam usaha untuk memastikan keamanan dan keselamatan perairan sempadan dan komuniti maritim dari kedua-dua negara sentiasa terjaga.
“Pemeriksaan terhadap vesel-vesel yang beroperasi di sekitar kawasan perairan sempadan turut dilaksanakan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta langkah-langkah keselamatan ketika dilaut sentiasa dipatuhi,” katanya.