Jenayah & Mahkamah

DBKL gempur Chow Kit & Jalan Haji Taib

KUALA LUMPUR – Lebih 200 gerai peniaga di Chow Kit dan Jalan Haji Taib di sini diperiksa dengan 12 daripadanya dikenakan tindakan sita oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam operasi malam semalam.

DBKL dalam kenyataan di Facebook hari ini berkata, tindakan sita dan pindah barangan ke atas pemilik perniagaan diambil atas kegagalan mempamerkan lesen dan dikendalikan oleh warga asing tanpa kebenaran.

Menurut DBKL, operasi yang bermula 9 malam semalam sehingga 1 pagi itu melibatkan serbuan dan pemeriksaan perniagaan bazar pakaian terpakai, gerai jualan makanan dan minuman, peralatan mainan, jualan ubat seks.

Antara agensi yang terbabit dalam Operasi Tindakan Khas Aktiviti Perniagaan adalah Jabatan Penguatkuasaan DBKL dengan kerjasama Pejabat Cawangan Setiawangsa dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal.

“DBKL membuat tindakan sita dan pindah barangan ke atas 12 pemilik aktiviti atau tapak lot perniagaan yang gagal mempamerkan lesen dan dikendalikan oleh warga asing tanpa kebenaran.

“Ia melibatkan 9 peniaga barangan terpakai (bundle), 2 peniaga makanan dan minuman serta 1 penjaja ubat-ubatan seks.

“Tindakan penguatkuasaan operasi khas dijalankan menerusi peruntukan undang-undang di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016,” katanya.

Operasi Tindakan Khas Aktiviti Perniagaan oleh DBKL di Chow Kit dan Jalan Haji Taib, Kuala Lumpur, kelmarin.

Operasi khas itu diketuai Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Noor Azman Mahlin bersama 131 orang pegawai, anggota penguatkuasa dan kakitangan DBKL.

Sehubungan itu, DBKL mengingatkan peniaga mematuhi syarat-syarat yang telah tercatat di dalam lesen perniagaan seperti masa, lokasi tempat dan mendapatkan kebenaran pihak berkuasa bagi melantik mana-mana pembantu premis atau gerai mengendalikan perniagaan.

“Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas akan dilakukan sekiranya masih terdapat pemilik aktiviti perniagaan warga tempatan menggajikan atau membenarkan warga asing beroperasi termasuk pembatalan lesen perniagaan,” kata DBKL.

Sementara itu, barang-barang pakaian terpakai dan peralatan yang disita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong Taman Miharja Cheras untuk rekod penyimpanan sementara dan proses dokumentasi.

Operasi Tindakan Khas Aktiviti Perniagaan oleh DBKL di Chow Kit dan Jalan Haji Taib, Kuala Lumpur, kelmarin.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button