Berita Semasa

Penempatan pegawai JAKIM: MAIM seru hormati asas kenegaraan

PUTRAJAYA – Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) mengajak masyarakat Malaysia agar utuh memelihara kerukunan hidup bersama dalam aman dan damai serta mengelakkan daripada membangkitkan perkara sensitif dan rasa kurang senang dalam masyarakat.

Pengerusi MAIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, pihaknya memandang serius kenyataan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) baru-baru ini sebagai satu salah faham yang perlu diharmonikan.

“MAIM berpandangan bahawa penempatan pegawai di pelbagai kementerian adalah satu langkah penyelarasan aktiviti keagamaan sepertimana seluruh dasar kerajaan yang lain memerlukan peranan pegawai.

“Langkah ini perlu memandangkan terdapat beberapa isu dan permasalahan berkaitan agama Islam yang memerlukan rujukan dan bimbingan khusus pegawai terlatih dan dalam konteks ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah pihak yang tepat untuk memainkan peranan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, sebagai rakyat ingin hidup damai bersama, semua pihak perlu menerima bahawa kerajaan mempunyai hak dan tanggungjawab dalam mengurus kaedah pentadbiran yang tepat termasuklah dalam hal bantuan kewangan.

Dalam pada itu katanya, peruntukan kewangan untuk pentadbiran hal ehwal agama Islam telah lama dipraktikkan oleh pentadbiran kerajaan Malaysia sebelum ini dan kini adalah kesinambungan kepada usaha yang lalu.

“Membangkitkan dan mempolemikkan isu ini adalah suatu yang tidak berasas sedangkan bantuan untuk perkara-perkara lain kepada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat tetap diteruskan.

“MAIM mengambil positif terhadap usaha kerajaan dan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kesediaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, agar diadakan pertemuan dengan pihak terbabit dalam menerangkan isu yang ditimbulkan,” katanya.

Sementara itu katanya, MAIM tetap konsisten mengangkat agenda keharmonian, perpaduan dan kesatuan rakyat Malaysia.

Pada masa sama katanya, MAIM menyeru budaya dialog sihat, beradab dan berfakta ke arah membangun Malaysia lebih bertamadun dan sejahtera selari dengan gagasan Malaysia Madani.

Show More

Related Articles

Back to top button