‘Abang bas’ muatnaik video direman lima hari
JOHOR BAHRU – Seorang pemandu bas yang dipercayai memuatnaik rakaman video murid sekolah rendah dan merujuknya sebagai orang yang disukainya atau ‘crush’ dan ‘kesayangan’, dikenakan tahanan reman selama lima hari bermula hari ini.
Perintah reman itu dijatuhkan oleh Majistret Suhaila Safi’uddin, di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini.
Pemandu itu disiasat mengikut Seksyen 15(a)(III) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001.
Suspek diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Batu Pahat.
Terdahulu, media melaporkan suspek ditahan di Simpang Renggam, awal pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, yang megesahkan penahanan itu berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada pukul 2.57 pagi tadi.
Katanya, polis turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuatnaik hantaran berkenaan di akaun media sosial milik suspek.
Sebelum ini tular di TikTok seorang lelaki dipercayai pemandu bas sekolah menggelar seorang penumpang bas yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai orang yang disukainya atau ‘crush’ dan ‘kesayangan’.
Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat ianya tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
Tindakan merakam foto atau video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa melanggar hak serta privasi mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) membuat laporan polis mengenai satu hantaran yang tular di media sosial.