Pembangkang dakwa perlu penuhi tujuh syarat untuk dapat peruntukan
BANGI – Perikatan Nasional (PN) mendakwa terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi pembangkang bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan daripada Kerajaan Perpaduan.
Menurut Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, antara syarat yang terkandung dalam draf Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Peruntukan Pembangkang termasuklah sokongan kepada kepada kerajaan sehingga pembubaran Parlimen.
Tambah Takiyuddin, antara syarat lain, pembangkang juga perlu mengisytiharkan harta serta tidak menyentuh isu berkaitan 3R (agama, kaum dan raja).
“Disebut mengenai tujuh prinsip kehidupan awam, tuturan kebencian, hasutan kebencian mengenai isu bangsa agama dan raja-raja (3R) turut termasuk dalam MoU.
“Tujuh syarat yang perlu dipatuhi pembangkang itu ada obligasi-obligasi yang perlu dipatuhi pihak pembangkang dan kerajaan, manakala jumlah peruntukan yang ingin diberikan tidak disebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sidang Kemuncak Kesatuan Kerajaan Empat Negeri (SG4) di Hotel Tenera, di sini, hari ini.
Hadir sama, Panel Penasihat SG4, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Mengulas mengenai syarat pengisytiharan harta, Takiyuddin menyifatkan ia sebagai sesuatu yang pelik memandangkan semasa pentadbiran kerajaan terdahulu, hanya anggota pentadbiran kerajaan sahaja yang perlu mengisytiharkan harta.
“Dalam jadual ada kata pengisytiharan harta. Kita pun tidak faham mengapa dia minta Ahli Parlimen pembangkang isytihar harta kerana zaman kerajaan terdahulu, pengisytiharan harta hanya dibuat oleh anggota pentadbiran kerajaan seperti menteri, timbalan menteri.
Tambah Takiyuddin, keputusan mengenai sama ada ingin menerima atau tidak syarat yang ditentukan bagi peruntukan pembangkang itu akan diputuskan pada bulan ini.
“Pokoknya ini semua masih dalam perbincangan sama ada mahu terima atau tidak. (Keputusan) akan diberi sebelum sidang Parlimen dan dijangka selesai pada bulan ini,” ujarnya.