Malaysia akan terima TPOXX, vaksin Mpox
PETALING JAYA – Malaysia akan menerima agihan ubat antivirus Tecovirimat (TPOXX) dan vaksin MVA-BN bagi virus Mpox atau cacar monyet melalui ‘Covid-19 Asean Response Fund’.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, TPOXX digunakan dalam rawatan Mpox khususnya kepada mereka yang mengalami jangkitan teruk atau yang mempunyai imuniti lemah.
Beliau juga berkata pemberian vaksin MVA-BN Mpox hanya diberi berdasarkan pemeriksaan dan penilaian pakar perubatan.
“Tiada vaksinasi umum. Vaksin MVA-BN hanya khas kepada kumpulan berisiko tinggi, termasuk petugas kesihatan dan kontak rapat kes yang disahkan, katanya dalam aplikasi X hari ini.
Sebelum ini, Dzulkefly memaklumkan daripada 34 kes yang disyaki Mpox telah disahkan sebagai negatif dalam ujian di makmal fasiliti kerajaan.
Ekoran penularan kedua wabak itu juga, KKM melaksanakan saringan pengimbas suhu ke atas pengembara dari negara-negara yang berisiko di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai persediaan menangani risiko penularan Mpox.
Dzulkefly berkata, seramai 3.26 juta pengembara telah melalui saringan Mpox di terminal 1 KLIA.
Penyakit Mpox diisytiharkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa buat kali kedua pada 14 Ogos lalu.
Penyebaran virus clade llb itu bermula pada 2022 dan berterusan hingga hari ini termasuk di beberapa negara Afrika.
Mpox lazimnya merebak antara manusia melalui kontak rapat dengan individu dijangkiti.