Berita Semasa

Pengguna Pulau Pinang dinasihat lebih berhemat dalam penggunaan air

GEORGE TOWN – Rakyat Pulau Pinang diminta supaya berjimat dan lebih berhemat dalam penggunaan air berikutan penurunan kapasiti efektif tiga empangan utama di negeri tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) K.Pathmanathan berkata, penurunan tersebut adalah disebabkan oleh jumlah taburan hujan rendah yang dicatatkan bagi tahun lepas.

“Sehingga semalam (1 hingga 11 Jan 2023), kapasiti efektif bagi Empangan Mengkuang adalah 87.2 peratus, Empangan Air Itam (84.7 peratus) dan Empangan Teluk Bahang (64.2 peratus).

“Jika dibandingkan kapasiti efektif bagi tempoh sama tahun lepas, Empangan Teluk Bahang menunjukkan 86.4 peratus, Empangan Air Itam 84.1 peratus manakala Empangan Mengkuang 92.8 peratus. Tahap optimum empangan adalah melebihi 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Pathmanathan berkata bagi memenuhi permintaan air semasa tempoh perayaan akhir tahun lepas dan Tahun Baharu Cina yang akan datang, PBAPP telah mengoptimumkan pengeluaran air terawat di LRA Sungai Dua selain mengepam lebih banyak air terawat ke bahagian pulau dan Seberang Perai.

“Bagi memenuhi permintaan bekalan air yang berkemungkinan besar meningkat pada musim perayaan dan cuti hujung minggu yang panjang, PBAPP bersedia untuk melepaskan lebih banyak air daripada Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang sambil memantau rapi paras air empangan untuk sebarang kejadian yang tidak diduga,” katanya.

Menurutnya PBAPP juga tidak akan menjadualkan sebarang kerja paip (gangguan air berjadual) sehingga selepas Tahun Baharu Cina supaya pengguna dapat membersihkan kediaman tanpa gangguan.

“Bagaimanapun, ia tidak termasuk kerja-kerja pembaikan paip luar jangka atau kecemasan (tidak berjadual) yang perlu dijalankan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button