Berita Semasa

Pejabat Mufti WP akan panggil ‘Raja Bomoh’ – Mohd Na’im

PUTRAJAYA – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan akan memanggil ‘Raja Bomoh’ selepas lelaki itu dilapor melakukan satu ritual di lokasi seorang wanita warga India hilang akibat kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Laporan portal FMT menyebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar sebagai berkata, tindakan Raja Bomoh atau nama sebenarnya, Ibrahim Mat Zin, menimbulkan kegelisahan awam dan salah faham terhadap agama Islam dalam kalangan masyarakat.

“Saya telah minta Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk memanggil penama (Ibrahim) dalam masa terdekat,” katanya dalam laporan tersebut.

Jelasnya, Ibrahim masih di bawah pengawasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengikut Seksyen 129 Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 berikutan amalan ritual yang pernah dilakukannya sebelum ini.

Pada April 2017, Ibrahim ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan didakwa mengikut Seksyen 7(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 kerana menghina agama Islam.

Ibrahim yang diperintah berkelakuan baik selama 6 bulan dan menjalani kelas akidah serta fardu ain oleh mahkamah, kemudiannya membuat pengakuan taubat secara terbuka.

Semalam media melaporkan, Ibrahim hadir ke lokasi kejadian tanah jerlus di Masjid India dan memaklumkan kehadirannya adalah untuk membantu usaha mencari mangsa yang masih belum ditemui.

Show More

Related Articles

Back to top button