TPM arah audit integriti di kawasan Jalan Masjid India
KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengarahkan satu ‘audit integriti’ dilakukan bagi mengukur tahap keselamatan di Jalan Masjid India di sini susulan satu lagi kejadian tanah mendap berlaku di kawasan itu selepas insiden Jumaat lalu.
Beliau juga memaklumkan sebahagian daripada laluan di jalan tumpuan orang ramai itu kini ditutup kepada orang ramai bagi tujuan keselamatan.
Fadillah berkata, pelaksanaan audit itu akan melibatkan pihak berkuasa tempatan, beberapa agensi dan pihak yang berkepakaran dalam mengenal pasti punca kejadian tanah mendap.
“Saya dimaklumkan sudah berlaku mendapan kedua di sini hari ini dan kita tidak mahu kejadian ini berulang lagi.
“Saya sudah mengeluarkan arahan kepada Indah Water Konsortium (IWK) mengadakan audit integriti untuk memeriksa tahap keselamatan keseluruhan kawasan ini dan melihat apa puncanya (tanah mendap).
“Saya akan memanggil pihak berkuasa yang berkenaan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya, IWK, jurutera, geologi dan semua,” katanya pada sidang media selepas meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari ke enam hari ini.
Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa; Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman; Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam.
Mengulas lanjut katanya, audit berkenaan akan meneliti keadaan saluran pembentungan di kawasan itu secara keseluruhannya.
Bagaimanapun katanya, proses pengauditan itu hanya dapat dilakukan selepas operasi SAR selesai dijalankan.
“Tumpuan pada masa sekarang adalah pada operasi mencari dan menyelamatkan (SAR) mangsa dan kita harap harap ia dapat dimulakan secepat mungkin,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak memasuki kawasan kejadian dan mematuhi arahan pihak berwajib ketika melalui kawasan tersebut.
Ditanya keperluan membawa pasukan mencari dan menyelamat dari luar negara, Fadillah berkata, kerajaan meletakkan kepercayaan penuh kepada kepakaran yang dimiliki oleh pasukan penyelamat seperti bomba dan polis yang berpengalaman dalam operasi seperti itu.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, yang terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter itu pada hari ini diteruskan dengan kaedah selam skuba oleh pihak bomba.