Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Satu lagi kejadian tanah mendap dikesan di Jalan Masjid India

KUALA LUMPUR – Satu lagi insiden tanah mendap dikesan di Jalan Masjid India berhampiran lokasi kejadian pertama pada Jumaat lalu.

Kesan mendap pada permukaan jalan batu-batu di depan Pondok Polis Masjid India itu dikesan awal pagi tadi dipercayai berikutan hujan lebat lewat petang semalam.

Berdasarkan gambar yang tular di media sosial pagi ini, kawasan yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian pertama itu telah dipagar dengan pita kuning bagi tujuan keselamatan.

Kejadian terbaru itu berlaku dalam kebimbangan orang ramai selepas insiden melibatkan seorang wanita warga India yang terjatuh dan hilang di dalam lubang pembentungan sebelum ini.

Pencarian mangsa yang masuk hari ke enam masih lagi gagal menemui mangsa berusia 48 tahun itu walaupun pelbagai kaedah telah digunakan oleh agensi penyelamat.

Semalam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan kerja-kerja survei bagi memantau tahap keselamatan kawasan sekitar lokasi kejadian sedang dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Katanya, tumpuan diberikan di kawasan sekitar 65 meter dari pintu gerbang Masjid India.

Dalam kejadian Jumaat lalu, wanita warga India, Vijayaletchumy, jatuh ke dalam lubang pembentungan ketika melalui laluan pejalan kaki di Jalan Masjid India.

 

Show More

Related Articles

Back to top button