Misi lawatan ke Brunei berjaya – PM
KUALA LUMPUR – Malaysia-Brunei kini bakal bergerak ke lembaran baharu fasa membabitkan lebih banyak ruang serta peluang untuk dimanfaatkan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, hubungan Malaysia-Brunei akan dapat dirasai menerusi keakraban yang lebih harmoni membabitkan pelbagai kerjasama pelbagai pihak.
“Kerjasama pelbagai pihak sama ada di peringkat persekutuan, juga kerajaan negeri Sabah dan Sarawak amnya demi kepentingan bersama-sama,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, semalam.
Beliau berkata demikian selepas selesai Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 (ALC-25) di Brunei, semalam.
Terdahulu, sewaktu ALC-25 antara Malaysia dan Brunei di Istana Nurul Iman, Perdana Menteri dan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menyaksikan pemeteraian beberapa instrumen dua hala demi kemajuan bersama.
Anwar berkata, kerjasama dua hala berkenaan melibatkan Memorandum Persefahaman mengenai Fasa Pertama Penandaan dan Pengukuran Sempadan Darat, Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama Pengangkutan serta Pertukaran Nota mengenai Sempadan Darat.
“Pemeteraian instrumen kerjasama dua hala berkenaan menyerlahkan komitmen Malaysia-Brunei dalam memperkukuhkan hubungan, memacu peningkatan kerjasama demi kepentingan bersama.
“Misi lawatan ini saya sifatkan berjaya kerana komitmen serius kedua-dua negara dalam mencari jalan menyelesaikan isu berbangkit dan tertangguh khususnya berkaitan persempadanan,” ujar Perdana Menteri.