Tiada tolak ansur bagi pihak cuba mainkan isu perkauman, keagamaan – PM Anwar
PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba menghangatkan atau mempermainkan isu perkauman atau keagamaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cubaan sedemikian sama sekali tidak diizinkan, dan beliau sudah mengarahkan pihak keselamatan supaya sentiasa berwaspada dengan cubaan sedemikian.
“Orang tertentu yang terdesak atau berasa tercabar akan menggunakan sentimen ini, dan rakyat yang miskin akan diupah untuk menimbulkan kekacauan.
“Saya dan Kabinet akan memastikan keamanan dan kedamaian semua kaum dipertahankan dan tidak akan bertolak ansur sedikit pun terhadap usaha yang akan mengganggu-gugat keselamatan negara,” kata Anwar pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri, di sini hari ini.
Jelas beliau, sekiranya timbul isu-isu berbangkit melibatkan perkara itu, ia perlu dileraikan dengan baik supaya jangan ada perseteruan atau prasangka.
“Ini termasuklah isu yang dibangkitkan baru-baru ini mengenai kunjungan ke gereja yang tidak seharusnya melibatkan kerajaan sama sekali.
Tambah Anwar lagi, Kerajaan Perpaduan pimpinannya tetap teguh mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan dengan menjunjung Islam sebagai agama persekutuan serta memberi ruang dan kebebasan hak agama lain seperti dijamin dalam Perlembagaan.