Selepas tiga hari, masih tiada petunjuk mangsa tanah jerlus
KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga India yang terjatuh di dalam lubang tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini masih belum menemukan sebarang petunjuk baharu.
Selepas tiga hari pencarian, termasuk pencarian di lima daripada enam lurang kumbahan Indah Water Konsortium melibatkan lebih 100 anggota pelbagai agensi keselamatan, jasad wanita berusia 48 tahun itu masih belum ditemukan.
Ekoran itu, satu mesyuarat diadakan melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta IWK dengan dipengerusikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.
Hasilnya, mesyuarat memutuskan untuk melakukan teknik ‘flushing’ di lurang lima dan enam iaitu berhampiran Bank Pertanian Lebuh Pasar Besar serta berdekatan Bulatan Kinabalu setelah mendapati arus di kedua-dua lokasi agak perlahan dipercayai disebabkan ada sekatan atau reruntuhan puing.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman turut menyatakan bahawa pasukan SAR tidak menetapkan sebarang tempoh pencarian dan ia akan diteruskan sehingga mangsa ditemukan.
Sementara itu, penghuni di 160 unit di Flat Malayan Mansion yang dianggarkan lebih 800 orang menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan mereka berikutan jarak insiden tanah jerlus Jumaat lalu berlaku tidak sampai 50 meter dari kediaman mereka.
Maimunah pula memberi jaminan bahawa situasi di Kuala Lumpur termasuk Jalan Masjid India adalah selamat dan tiada bukti kukuh yang menyokong dakwaan bahawa ibu kota berdepan ancaman insiden ‘giant sinkhole’ pada bila-bila masa.
Beliau berkata, pihak berkuasa tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan menubuhkan pasukan khas yang dianggotai oleh agensi berkaitan termasuk Jabatan Geologi dan Jabatan Kerja Raya untuk melihat serta mengkaji keadaan itu.