Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Kamera kawalan jauh temui halangan, SAR ditumpu di sekitar Wisma Yakin

KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam saluran pembentungan pada hari ini tertumpu di sekitar Wisma Yakin berhampiran lokasi kejadian tanah jerlus pada Jumaat lalu berlaku.

Pencarian menggunakan kamera kawalan jauh (crawler) dan tembakan air bertekanan tinggi atau jetting itu dilakukan selepas kira-kira 10 siri flushing yang masih belum menemukan sebarang petunjuk keberadaan mangsa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, tumpuan SAR pada hari ke empat hari ini tertumpu di saluran pembentungan sekitar Wisma Yakin selepas pihaknya mengesan objek yang menghalang saluran pembentungan.

“Malam tadi kamera crawler yang digunakan telah menemui objek atau serpihan berupa batu bata dan pada pagi ini kita gunakan jettor untuk memecahkan halangan tersebut supaya air atau mangsa dapat melepasi laluan tersebut.

“Bagaimanapun serpihan objek itu masih tidak dapat dipecahkan selepas melakukan jetting dan push rode.

“Semua ini dilakukan selepas flushing di Loji Kumbahan IWK di Pantai Dalam tidak menemukan sebarang petunjuk,” katanya pada sidang media petang tadi.

Sulizmie Affendy Sulaiman pada sidang media berhubung SAR insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam.

Sulizmie Affendy berkata, usaha lain yang dilakukan hari ini termasuk sekatan menggunakan 100 beg pasir oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sekeliling lokasi tanah jerlus bagi mengelak kemasukan air di saluran itu.

Selain itu, beliau selaku Komander Insiden memaklumkan satu jawatankuasa ditubuhkan melalui penglibatan Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Mineral dan Geosains bagi menjalankan kajian terhadap struktur tanah terutama di sekitar kawasan Jalan Masjid India.

Sementara itu, Narendran Maniam berkata, kamera crawler yang digunakan dalam operasi itu mampu bergerak sejauh 80 meter sehingga 100 meter dan mampu melalui laluan yang sukar dan sempit.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Vijayaletchumy, 48, jatuh ke dalam lubang pembentungan ketika melalui laluan pejalan kaki di Jalan Masjid India.

Show More

Related Articles

Back to top button