Artikel gua kosong di bawah KL palsu – UM
KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) menafikan artikel mengenai gua kosong besar di bawah Kuala Lumpur yang didakwa ditulis oleh pakar geologi universiti berkenaan.
Ketua Jabatan Geologi Fakulti Sains UM, Prof Madya Dr Meor Hakif Amir Hassan berkata, artikel yang kononnya ditulis oleh seorang ahli geologi terkemuka dari UM bernama Dr Sarah Jamal itu adalah palsu.
“Tiada ahli geologi bernama Sarah Jamal yang berkhidmat di UM. Malah, senarai daftar Lembaga Ahli Geologi Malaysia juga tiada nama itu didaftarkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Tambah kenyataan itu, kandungan artikel itu adalah tidak berdasarkan fakta, malah katanya, staf Jabatan Geologi UM mengambil langkah berhati-hati mengulas berkenaan insiden di Jalan Masjid India memandangkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih berjalan.
“Punca kejadian itu juga masih tidak dipastikan,” katanya lagi.
Pada Jumaat lalu, Vijayalakshmi, 48, berasal dari Andhra Pradesh, India, terjatuh dalam lubang tanah jerlus ketika sedang berjalan dari arah Selangor Mansion menuju ke Wisma Yakin, 8.25 pagi.