Berita Semasa

Hujan lebat berterusan diramal landa Pekan, Rompin – MetMalaysia

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan ramalan hujan lebat berterusan di Pekan dan Rompin, Pahang.

Berdasarkan ramalan yang dikeluarkan pada pukul 8.15 pagi tadi, hujan berterusan juga dijangka berlaku di Kuantan, Pahang dan seluruh Johor.

Sehubungan itu, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) meminta Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPB) peringkat negeri/daerah diaktifkan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana terutama di kawasan berisiko tinggi.

“Pihak JPB negeri dan daerah dimohon memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai aset pengoperasian mencukupi serta berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan,” kata Nadma dalam satu kenyataan, hari ini.

Nadma melalui NDCC sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.

Selain itu, NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui nombor telefon 03-80642400, faksimili 03-80642429 dan e-mel opsroom@nadma.gov.my.

Show More

Related Articles

Back to top button