Sindiket penyelewengan diesel bersubsidi raih RM400 juta tumpas di Sibu
SIBU – Satu sindiket penyelewengan diesel bersubsidi berjaya ditumpaskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan rampasan bekalan diesel berjumlah 1.6 juta liter, dua buah tongkang dan wang tunai RM3.7 juta di sebuah depoh penyimpanan di Sungai Bidut, di sini.
Serbuan yang dilakukan oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) dan Skuad Teknikal Khas SPRM itu turut disertai pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, susulan serbuan itu, pihaknya menahan lima individu membabitkan tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 60-an di Pejabat SPRM Cawangan Sibu pada pukul 4 petang tadi.
“Mereka yang ditahan adalah empat pengusaha stesen minyak yang dipercayai menjadi dalang kegiatan penyeludupan minyak diesel dan seorang orang tengah yang dipercayai terbabit dalam urusan jual beli dengan pembeli luar.
“Susulan operasi ini, SPRM telah menyita wang tunai kira-kira RM3.7 juta, dua tongkang serta 30 tangki minyak mengandungi kira-kira 1.6 juta liter diesel di depoh terbabit.
“Kesemua sitaan minyak diesel terbabit diserahkan kepada KPDN bagi tujuan penjualan semula kepada pelesen yang sah,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.
Azam berkata, siasatan mempercayai sindiket yang beroperasi sejak dari tahun 2012 itu telah mengaut keuntungan sehingga RM400 melalui penjualan minyak bersubsidi untuk kegunaan nelayan kepada pihak luar.
Suspek yang ditahan juga dipercayai terlibat membayar rasuah kepada penguat kuasa sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan.
“Sindiket ini dipercayai telah memindahkan minyak diesel berkenaan daripada tangki-tangki yang dikhaskan untuk nelayan ke dalam tongkang yang berlabuh di depoh berkenaan.
“Kemudian, minyak daripada tongkang berkenaan dipercayai dipindahkan ke kapal-kapal milik pembeli dari negara luar pada waktu malam bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya lagi, kesemua suspek akan di bawa ke Mahkamah Majistret Sibu bagi proses permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, selain Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Akta Kawalan Bekalan 1961.