Berita SemasaPolitik

Mahkamah Syariah kini dalam Undang-Undang Tubuh Kedah

ALOR SETAR – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini, meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan) 2024 bagi meletakkan Mahkamah Syariah di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pindaan itu membolehkan struktur mahkamah berkenaan ditambah baik kepada empat peringkat berbanding hanya tiga peringkat sebelum ini.

Katanya, Mahkamah Utama Syariah akan diwujudkan menerusi pindaan itu sebagai pelengkap dalam sistem hierarkinya iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah, memetik laporan BH Online.

“Ia selari dengan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Badlishah yang menitahkan langkah pemerkasaan Mahkamah Syariah dilakukan dengan meletakkan penubuhan Mahkamah Syariah dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang berkenaan.

Pindaan berkenaan disokong sebulat suara 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Turut diluluskan, Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Kedah Darul Aman) bagi menyelaras beberapa tafsiran dalam RUU itu dan memperluas perwakilan kewajipan atau kuasa Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK).

Pindaan turut membabitkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam bagi menyelaras beberapa tafsiran dalam RUU, serta sebagai suatu pindaan berbangkit selari dengan pemansuhan Enakmen Mahkamah Syariah (Kedah Darul Aman) 2008 dan digantikan dengan enakmen baharu.

Ia turut membabitkan bidang kuasa Mahkamah Syariah, pelantikan Hakim, serta kuasa keempat-empat Mahkamah Syariah yang ditubuhkan.

Pindaan juga merangkumi pelantikan anggota Mahkamah Syariah dan kes-kes yang dibicarakan.

Muhammad Sanusi berkata, Rang Undang-Undang itu juga bertujuan untuk meminda Seksyen 37 Enakmen No 11/2008 berkenaan gangguan seseorang yang menghalang lelaki atau perempuan yang telah mencapai umur untuk berkahwin dengan sah.

Pada 4 Mac lalu, Sultan Sallehuddin menitahkan kerajaan menyemak semula struktur Mahkamah Syariah seperti sistem hierarkinya supaya memberi lebih ruang keadilan kepada pihak terbabit.

Baginda bertitah, kerajaan juga perlu menambah baik kedudukan jawatan Hakim Mahkamah Syariah supaya setanding dengan sistem yang diguna pakai di Mahkamah Sivil.

Pindaan ini menjadikan Kedah negeri kedua selepas Perak mewujudkan lapisan keempat dalam sistem Mahkamah Syariah dan negeri kedua meletakkan Mahkamah Syariah bawah undang-undang tubuh selepas Terengganu.

Show More

Related Articles

Back to top button