Politik

PAU 2024: Ahmad Zahid persoal pendekatan UMNO bergerak solo

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjawab persoalan mengenai pendekatan parti yang sebelum ini bergerak secara solo, sama ada langkah itu betul atau sebaliknya.

Timbalan Perdana Menteri itu mempersoalkan, adakah bergerak sendiri merupakan langkah terbaik berdasarkan keadaan politik semasa memandang parti itu tidak sedominan dahulu.

“Berdasarkan data dan sentimen sekarang, apakah kelebihan yang kita ada? Dengan pertambahan pengundi baharu pula, dapatkah kita menguasai persepsi mereka?,” soalnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan beliau semasa ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, ahli UMNO sahaja tidak mampu memenangkan parti kerana yang menjadi penentu adalah pengundi di luar sana yang jauh lebih besar peratusannya serta jauh lebih ramai jumlahnya.

Beliau menegaskan, UMNO mesti keluar dari ‘echo chamber’ dan zon selesa untuk berdepan dengan idea-idea baharu, perspektif yang beragam agar UMNO tetap relevan dalam lanskap politik yang semakin kompleks.

“Jangan kita ingat, kita dominan seperti dahulu lagi. Jangan terbuai dengan fitnah dan tohmah pihak lawan sehingga kita menanam kesangsian sesama sendiri. Jangan leka dengan sedikit kuasa yang ada sehingga kita lupa akan tugas memperkuatkan parti.

“Jika kita ingin membentuk persefahaman pula, apakah bentuk kerjasama yang hendak diterjemahkanc,” ujarnya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Selain itu, Ahmad Zahid turut membangkitkan persoalan mengenai langkah kerjasama dalam pilihan raya.

“Apakah kerjasama sebelum memasuki gelanggang pilihan raya atau selepas pilihan raya barulah dibuat pertimbangan. Kesemua ini memerlukan percaturan semasak- masaknya.

“Sebagai parti yang membentuk sebuah negara bangsa, apa pun pencak politik atau langkah yang hendak diambil, kepentingan negara dan rakyat adalah pra syarat yang tidak akan kita korbankan,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button