Green Day umum konsert di Kuala Lumpur 18 Februari tahun depan
KUALA LUMPUR – Kumpulan rock terkenal dari Amerika Syarikat, Green Day, mengumumkan akan mengadakan konsert sulung mereka di Malaysia pada 18 Februari 2025 di Stadium Hoki Nasional, Kuala Lumpur.
Pengumuman itu dibuat menerusi laman Facebook rasmi Green Day hari ini.
Kumpulan rock yang popular dengan lagu “Basket case” itu telah ditubuhkan pada tahun 1986 dan kini diiktiraf sebagai salah satu kumpulan rock terlaris sepanjang zaman dengan jualan album melebihi 75 juta unit di seluruh dunia.
Green Day juga pernah memenangi empat Anugerah Grammy daripada 17 pencalonan yang diterima sepanjang kerjaya mereka.
Konsert di Malaysia itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah The Saviors Tour.
Selain Malaysia, jelajah ini juga akan singgah di beberapa lokasi lain di Asia seperti Indonesia, Jepun, serta Dubai.
Penjualan tiket untuk konsert tersebut akan bermula pada 27 September pukul 11 pagi menerusi laman web Go Live Asia.
Kehadiran Green Day di Malaysia pastinya dinantikan oleh peminat mereka yang telah lama menunggu untuk menyaksikan kumpulan ini secara langsung.