Pengikut ajaran Millah Abraham rancang wujudkan negara dengan kerajaan sendiri
BATU PAHAT – Kumpulan ajaran sesat Millah Abraham mempunyai perancangan menubuhkan sebuah negara dengan kerajaan sendiri.
Perkara itu didedahkan oleh Exco Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, hari ini.
Katanya, rancangan itu didedahkan oleh pengikut ajaran itu selepas disiasat Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
“Kumpulan ini mempunyai struktur mereka yang dalam pemantauan Polis Diraja Malaysia dimana sampai satu peringkat itu untuk menubuhkan sebuah negara dan kerajaan mereka sendiri.
“Kita tak mahu kumpulan ini bertapak dan memgumpul keahlian yang lebih ramai kerana kita risau sebarang salah faham tentang beragama dan bernegara ini boleh mencetuskan rusuhan kerana mereka memang bercita cita menubuhkan sebuah negara ala Millah Abraham,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan ajaran sesat berkenaan.
Pada 6 Ogos lalu, seramai 14 individu disyaki pengikut ajaran sesat itu dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini atas pertuduhan mengingkari pihak berkuasa agama dan memiliki bahan penerbitan agama yang bertentangan dengan hukum syarak.
Terbaharu, seorang lelaki berusia lingkungan 45 hingga 50 tahun disyaki pengikut Millah Abraham bertaraf ‘Menteri’ dalam hierarki ajaran sesat itu ditahan di sekitar daerah ini.
Ajaran Millah Abraham difatwakan sesat di Johor pada 30 Julai 2015 dan diwartakan pada 28 April 2016 sebagai ajaran dan fahaman yang menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Antara fahaman salah ajaran itu adalah ahlinya percaya sembelihan dibuat bukan ahli tidak sah selain mempercayai kewujudan nabi baharu dan ada syahadah berbeza.