UNIKL MIAT, USM juarai kategori Putra, Putri IPT Karnival Waja Diri ke-10
KUALA TERENGGANU – Kejohanan Waja Diri (KWD) IPT dan Jemputan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) kali ke-10 melabuhkan tirainya baru-baru ini dengan juara keseluruhan menjadi milik Universiti Kuala Lumpur (UniKL) MIAT bagi Kategori IPT Putra dan Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Induk bagi Kategori IPT Puteri.
Kejohanan yang dianjurkan bersempena Perayaan Jubli Intan 60 Tahun PSSCM berlangsung pada 9 hingga 10 Ogos di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini.
Sebanyak 70 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan dengan antara kategori dipertandingkan termasuk kategori IPT, Jemputan (Cawangan Negeri), Tunas Remaja dan Tunas Cekak.
Perasmian Kejohanan disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Dr. Zuhairah Ariff Abd Ghadas yang mewakili Naib Canselor UniSZA.
Dianggarkan seramai 2,000 pengunjung hadir menyaksikan kejohanan tersebut sepanjang dua hari penganjurannya.
Majlis penyampaian hadiah kemudiannya disempurnakan oleh Guru Utama dan Presiden PSSCM, Datuk Maideen Kadir Shah.
Bagi edisi berikutnya, KWD akan diadakan di kampus induk USM Pulau Pinang bersempena Sambutan Jubli Emas PSSCM USM pada tahun 2026.
Senarai juara keseluruhan (mengikut kategori):
IPT PUTERA – UniKL MIAT
IPT PUTERI – USM Induk Pulau Pinang
Jemputan (Cawangan Negeri) – Kuala Lumpur
Tunas Remaja (Putera) – Maahad Muhammadi Lelaki, Kelantan
Tunas Remaja (Puteri) – Sekolah Menengah Setiabudi, Selangor
Tunas Cekak (Putera) – Tunas Kelas Latihan Shah Alam, Selangor
Tunas Cekak (Puteri) – Sekolah Kebangsaan Beladau Kolam, Terengganu