PRN: Anwar seru anak muda buat pilihan bijak, pilih kerajaan yang dapat cipta peluang pekerjaan
PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pengundi di enam negeri supaya menjalankan kewajiban sebagai rakyat Malaysia esok.
Perdana Menteri berkata, seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum juga diseru memilih calon yang dapat menerajui kerajaan negeri dan seorang anggota Parlimen di Kuala Terengganu
“Saya memohon kepada seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum di keenam-enam negeri Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu untuk tunaikan kewajiban sebagai rakyat dan pilih Perpaduan demi masa depan yang stabil, ekonomi yang terangkum serta jelas pengarahannya dan memastikan isu tahap gaji rakyat tidak dipandang remeh dan dipertingkat,” katanya dalam satu hantaran video menerusi media sosialnya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, berharap proses pilihan raya esok berjalan lancar dan tenang.
Sementara itu, Anwar turut menasihatkan pengundi muda yang baru diberikan hak untuk mengundi supaya dapat melaksanakan tanggungjawab itu dengan bijak.
“Kepada anak muda yang baru dapat peluang yang diberikan hak untuk memilih, saya percaya dapat memilih dengan bijak, jaga keamanan negara, kestabilan negara dan parti dan kerajaan yang boleh memulihkan ekonomi dan beri jaminan pekerjaan kepada mereka.
“Dan yang lebih utama memberikan keselesaan hidup kepada diri dan keluarga mereka dan negara Malaysia tercinta. Ambillah tanggungjawab ini sebagai sesuatu yang serius untuk menjamin kemajuan bagi negara dan keamanan dan perpaduan rakyat secara keseluruhan,” katanya.