Berita Semasa

KPT tidak pernah abai pendidikan anak Orang Asli

PUTRAJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak pernah mengabaikan pendidikan masyarakat anak Orang Asli, khususnya dalam pelbagai bidang di Pusat Pengajian Tinggi Awam (PPTA) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, berkata, KPT sentiasa menyediakan ruang dan peluang kepada anak komuniti Orang Asli untuk melanjutkan pengajian di PPTA dan dalam bidang TVET di seluruh negara.

Menurut Zambry, kadar kemasukan anak komuniti berkenaan ke pusat pengajian tinggi sentiasa meningkat setiap tahun.

“Seramai 482 anak Orang Asli yang tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia berjaya menerima surat tawaran melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di PPTA di seluruh negara.

“Pendidikan untuk masyarakat Orang Asli bermula seawal usia kanak-kanak dengan membuka kelas pendidikan prasekolah, tadika, sekolah rendah seterusnya sekolah menengah di kawasan berhampiran penempatan mereka bagi memastikan anak Orang Asli tidak tercicir dalam pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, kerajaan komited untuk memastikan hak semua kaum, termasuk Orang Asli, untuk mendapatkan pendidikan yang baik pada peringkat menengah dan tinggi akan terus diperjuangkan tanpa mengira bangsa.

Show More

Related Articles

Back to top button