
Bas dari Thailand dibenarkan masuk ke semua negeri di Malaysia
KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan membenarkan bas dari Thailand memasuki semua negeri di Malaysia dengan membuat permohonan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Menterinya, Anthony Loke berkata, kebenaran kemasukan itu tidak terhad kepada negeri berhampiran sempadan sahaja.
“Perkara ini sudah diputuskan menerusi mesyuarat baru-baru ini dan mana-mana bas dari Thailand dibenarkan masuk. Mereka hanya perlu membuat permohonan kepada APAD sebelum permit sementara dikeluarkan.
“Bagaimanapun, bas dari Thailand terbabit perlu mengemukakan maklumat tertentu termasuk pakej pelancongan yang diambil, bilangan penumpang serta lokasi penginapan.
“Apa yang kita sekat adalah van dari Thailand kerana dibimbangi mereka masuk ke Malaysia dan akan mengambil penumpang menyebabkan industri pelancongan kita terjejas,” katanya di Kota Bharu pada Isnin.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan fasa satu projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), lapor BH Online.
Media sebelum ini melaporkan, Kelantan akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan bagi membincangkan isu sekatan kemasukan bas dari Thailand ke Kelantan.
Susulan pertemuan yang dibuat Mac lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, Kementerian Pengangkutan memberi lampu hijau apabila membenarkan bas Thailand masuk ke Kelantan bermula bulan lalu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |