Kanak-kanak empat tahun lemas di kolam resort
KUALA NERUS – Seorang kanak-kanak berusia empat tahun ditemukan lemas di kolam renang ketika percutian bersama keluarga di sebuah resort di sini, petang ini.
Kejadian berlaku ketika mangsa, Muhammad Al Fatih Ahmad Bakri bersama dua abang dan kakaknya mandi di kolam renang kira-kira pukul 5 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kanak-kanak itu dipercayai lemas selepas mengikut abang dan kakaknya mandi di kolam dewasa.
Katanya, ketika kejadian, ibu mangsa turut berada di tepi kolam berkenaan bersama seorang lagi anak berusia satu tahun.
“Mangsa disedari lemas oleh pengunjung lain dan kemudian menghubungi ambulans untuk dibawa ke Klinik Seberang Takir.
“Mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh doktor klinik berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Azli berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Jospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat.