Jenayah & Mahkamah

Rumah terbakar: Kematian tiga sekeluarga ada unsur jenayah – Polis Johor

MUAR – Polis mengesahkan kematian tiga sekeluarga dalam kebakaran di Kampung Paya Redan, Pagoh, awal pagi semalam mempunyai unsur jenayah.

Menurut Ketua Polis Daerah Muar, ACP Razi Mukhliz Azman Aziz, hasil siasatan lanjut polis di lokasi kejadian dan keputusan bedah siasat ketiga-tiga mangsa mendapati terdapat kesan berunsur jenayah.

“Pihak polis mengklasifikasikan semula kes di bawah Seksyen 302 kanun keseksaan, Seksyen 436 kanun keseksaan dan Seksyen 326 kanun keseksaan.

“Kini usaha mengesan suspek utama iaitu Azman Mohamed, 48 yang juga anak kepada pasangan warga emas yang rentung dalam kebakaran berkenaan sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki terbabit diminta menghubungi pegawai penyiasat, ASP Siti Rohayu Salih di talian 016-2199592 atau hubungi hotline IPD Muar di talian 06-9564800, atau mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 1.30 pagi semalam, Noradriana Nor Hasyim, 11, bersama datuk dan neneknya, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76, terkorban dalam kebakaran selepas rumah didiami mereka di Kampung Paya Redan, terbakar.

Seorang lagi cucu mereka, Norazima Mohd Radhi, 14, mengalami kecederaan pada kepala dan kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar.

Show More

Related Articles

Back to top button