Faisal Halim kritikal, tangan kiri tidak boleh bergerak
KUALA LUMPUR – Keadaan kesihatan pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim semakin membimbangkan apabila dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta, semalam.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, keadaan Faisal boleh dikatakan semakin membimbangkan kesan daripada kelecuran tahap empat.
Malah, beliau yang juga Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut memaklumkan bahawa tangan kiri pemain sayap itu sukar untuk bergerak sekali gus menimbulkan persoalan masa depannya kelak.
“Seperti dimaklumkan bahawa sememangnya Faisal berada dalam keadaan kritikal dan kini hanya saya dan isterinya saja dibenarkan untuk melawat.
“Jika diikutkan apabila dia dihantar ke hospital pertama untuk menerima rawatan awal doktor melihatnya mungkin melecur tahap dua.
“Namun, selepas dipindahkan hospital dan rawatan susulan mendapati lecuran berada pada tahap empat.
“Sedih saya melihat keadaannya ketika ini, kerana dia ada beritahu bahawa terasa sakit seperti terbakar di dalam kulit dan mengerang kesakitan,” katanya memetik laporan Arena Metro.
Kelmarin, pemain kebangsaan itu cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di ibu kota.
Kejadian itu merupakan yang kedua menimpa pemain negara selepas Muhammad Akhyar Abdul Rashid cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lepas.