Berita Semasa

Hak jagaan sementara adik Zayn Rayyan diserah kepada nenek saudara

SHAH ALAM – Hak penjagaan sementara adik kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin diserahkan kepada nenek saudaranya, bermula hari ini.

Perintah jagaan itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Shah Alam di bawah Seksyen 25 (2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Perkara itu dimaklumkan peguam, Nurul Ikrimah Mohd Raya yang mewakili keluarga.

Katanya, prosiding hak penjagaan kanak-kanak berusia lima tahun itu diputuskan melalui rundingan antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor dan ibu bapa kanak-kanak itu di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

“Ibu bapa kanak-kanak itu iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf boleh bertemu anak keduanya itu seminggu sekali hanya dalam tempoh lapan jam.

“Malah, mereka boleh melakukan panggilan video tanpa had,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah, di sini hari ini.

Tambahnya, hak jagaan sementara diberikan kepada ibu saudara Zaim Ikhwan Zahari hanya dalam tempoh dua bulan sehingga 4 Oktober.

“Mahkamah juga memutuskan ibu bapa kandung perlu membawa kanak-kanak itu ke pusat terapi khas sebulan sekali,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh perjumpaan, kanak-kanak itu perlu ditemani penjaga yang juga nenek saudaranya.

Laporan media pada 14 Jun lepas menyebut, JKM memperoleh perintah jagaan sementara selama dua bulan terhadap adik kepada Zayn Rayyan.

Sehari sebelumnya, Zaim Ikhwan dan Ismanira yang kedua-duanya berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Show More

Related Articles

Back to top button