Berita Semasa

KPKT tingkat inisiatif ‘waste to energy’, tutup 175 tempat pelupusan sampah

KUALA LUMPUR – Setakat hari ini, sebanyak 175 buah tempat pelupusan sampah telah ditutup dalam usaha meningkatkan inisiatif ‘waste to energy’ iaitu pepejal kepada tenaga di Malaysia, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Menurut Kor Ming, Malaysia dijangka akan menghasilkan 15.4 juta metrik tan sampah pada tahun depan dengan purata setiap rakyat menghasilkan 1.8 kilogram (kg) sampah setiap hari.

Lebih membimbangkan, Kor Ming berkata, sebanyak 44.5 peratus daripada sampah yang dibuang adalah dari sisa makanan.

“Oleh sebab itu, adalah sangat penting bukan sahaja kita merancang dan menyemarakkan lagi kempen 3R (reduce, reuse, recycle) dan kita sepatutnya ada 4R, rethink (berfikir dahulu) iaitu sebelum buang makanan fikir dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Persidangan Ekonomi Kitaran anjuran KPKT dengan tema “Membina Masa Depan yang Mampan” di ibu negara, hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (dua kanan) merasmikan Persidangan Ekonomi Kitaran anjuran KPKT dengan tema “Membina Masa Depan yang Mampan” di ibu negara, hari ini. – Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune

Mengulas dengan lebih lanjut, Kor Ming percaya isu sampah berlebihan di negara ini mampu diatasi dengan pembinaan lebih banyak loji sisa pepejal kepada tenaga (WTE).

Menurut Kor Ming, pihak kementerian telah melakukan pelbagai libat urus dan kajian bagi menentukan model loji yang bukan sahaja terbaik, malah selamat untuk dibina di negara ini.

Jelas beliau, KPKT mengambil pendirian dan pendekatan yang adil dengan mendengar pandangan semua pihak, di samping percaya kepada sains dan data kerana WTE telah diamalkan di banyak negara sejak tahun 1980.

“Contoh di China sendiri ada 700 loji WTE kalau ianya buruk saya tidak rasa kerajaan China akan ada sehingga 700 loji WTE.

“Di Singapura ada lima loji WTE untuk Malaysia kita hanya ada satu sekarang iaitu di Port Dickson sebab itu berdasarkan kajian dan statistik kita mampu untuk ada 18 WTE yang mesra alam sekitar,” katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming melawat reruai pameran sempena Persidangan Ekonomi Kitaran hari ini. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Tegas Kor Ming, kerajaan hanya akan hanya akan membawa masuk teknologi WTE yang terbukti berkesan dan selamat digunakan.

“Saya tidak mahu ada pihak yang mempunyai kepentingan sengaja membuat persepsi yang tidak membina.

“Apa jenis teknologi WTE yang datang ke Malaysia ianya sudah terbukti selamat dengan kita biarkan negara lain buat dahulu dan mereka sudah buat sejak 1980.

“Jika ia tidak selamat kita tidak akan lakukan dan luluskan dan yang akan dibina di Malaysia, kena ada kelulusan dari segi keselamatan dari negara lain,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan segintir pihak yang mengkritik pembinaan loji WTE, Kor Ming berkata, pihaknya menerima banyak sokongan terhadap inisiatif tersebut.

“Kita terima banyak sokongan daripada orang ramai untuk lakukan loji WTE ini dan ia bergantung kepada pendirian anda,” katanya.

Sebagai rekod, loji WTE merupakan teknologi yang mengubah bahan buangan yang tidak boleh dikitar semula menjadi tenaga, seperti haba, elektrik, atau bahan bakar.

Show More

Related Articles

Back to top button